KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat dan mengambil tindakan
yang perlu berhubung dakwaan dua blogger tempatan berkaitan isu agama yang
disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar menasihati orang ramai supaya berhati-hati apabila menimbulkan isu-isu sedemikian dan bersedia menghadapi tindakan. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai laporan
akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan tajuk "Kristian agama rasmi?" selepas
melancarkan program papan iklan dalam konteks pencegahan jenayah di Wangsa Maju
di sini.
Khalid turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang isu
sensitif berkaitan agama kerana hal berkenaan boleh merosakkan keharmonian
di negara ini. "Kita tidak boleh biarkan isu-isu sebegini dimainkan oleh mana-mana
pihak... jadi saya nasihatkan supaya jangan cuba bermain api nanti terbakar
tangan," katanya.
Khalid berkata apa jua isu berkaitan dengan agama, jika tidak ditangani
dengan betul, akan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam dan polis tidak akan
membiarkan perkara itu.
Mengenai laporan media berhubung dakwaan seorang ibu yang kononnya ditipu
RM13,000 anggota polis yang menahan dua anaknya, dipercayai terbabit dengan kes
curi motosikal, Khalid berkata pihaknya telah mengenal pasti pemilik akaun bank
yang dimasukkan wang berkenaan.
Siasatan masih sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana
menipu, katanya dan menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak demikian
kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Rasuah.
"Kalau ada polis minta duit, lapor kepada kita (polis), ketua polis dan
sebagainya dan kita akan ambil tindakan. Kita tidak akan membiarkan sesekali
anggota kita terlibat dengan perkara sedemikian," katanya.
Menyentuh mengenai kempen pencegahan jenayah melalui papan iklan, Khalid
berkata ia adalah satu strategi bagi memperkasakan lagi usaha pencegahan jenayah
di negara ini, dan merupakan inisiatif Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli
Abdullah.
"Memang kita tengok di negara luar banyak kempen seperti ini dijalankan,
dan ia cukup berkesan. Saya harap ia membuahkan hasil untuk mengurangkan jenayah
di negara ini," katanya.-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

CONTACT US

edisimaya@gmail.com

ShoutMix chat widget