Erdogan: Hadi kata tak pening, dasar PAS tak berubah, hanya strategi...

Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus bersandar di kerusi. Tidak seperti biasa, Presiden PAS itu tidak beredar bersama-sama petugas media yang selesai membuat liputan sidang medianya.

Melihat bahasa tubuh, jelaslah Abdul Hadi seperti seolah-olah tidak bermaya walaupun ketika menjawab soalan wartawan, ahli parlimen Marang itu tampak bertenaga dan kerap berjenaka.


Malah, ketika ditanya apakah beliau bakal pening kepala kerana kepimpinan PAS yang baru diplih dalam Muktamar ke 57 adalah mereka yang dikaitkan dengan kumpulan Erdogan yang pro Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau ketawa sambil berkata, “ Kalau pening, (saya) tak boleh cakaplah (jawab soalan sidang media,”.

Hasil pemilihan semalam yang diumumkan pagi Sabtu, PAS menerima timbalan presiden baru iaitu Mohamad Sabu manakala Datuk Paduka Husam Musa pula kembali sebagai naib presiden manakala Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar mengekalkan kerusi naib presiden masing-masing.

Selain Mohamad Sabu, Salahuddin, Mahfuz dan Husam, seramai 12 daripada 18 ahli jawatankuasa kerja pusat PAS yang baru dilihat daripada kalangan kumpulan profesional atau dilihat rapat dengan Anwar.

Ketika wartawan Agendadaily dan Utusan Malaysia menghampiri untuk bersalam, Abdul Hadi masih duduk dan cuba tersenyum.

Mujurlah Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali yang masih duduk di kerusi bersebelahan menemaninya, melayan wartawan Agendadaily dan Utusan.

Mohamad dan tiga naib presiden juga sudah beredar sebaik sahaja sidang media hari kedua muktamar itu yang diadakan pada waktu rehat tengahari , selesai.

Melihat riak dan air muka, jelaslah Abdul Hadi cuba menyembunyikan kekecewaan dengan saf baru selain tewasnya Nasharuddin Mat Isa sebagai timbalan presiden.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan bertubi-tubi mengenai kumpulan Erdogan yang kini menguasai PAS, beliau menolak dakwaan tersebut dengan alasan, pimpinan sekarang meliputi pelbagai golongan.

Katanya, ada golongan profesional, jurutera, NGO selain ulama.

Abdul Hadi menggambarkan, saf baru ini adalah pemimpin yang dikehendakki ahli dan masyarakat malah tidak timbul soal dikuasai oleh pihak luar sama ada oleh Anwar atau DAP.

“Ini adalah saf untuk pilihan raya umum ke 13,” katanya.

Bagi mengelak dakwaan kononnya ada campur tangan luar menentukan pemilihan kali ini, beliau berkata,” PAS paling berpengalaman, paling tua dan sudah hadapi banyak ujian politik termasuk jadi kerajaan negeri,”.

Beliau turut memberi contoh kejayaan PAS menjadi pemimpin di Kelantan, Kedah dan di Perak.

Katanya, bukan pemimpin PAS atau orang luar tentukan tetapi perwakilan yang buat perubahan pada pemilihan kali ini.

Lagipun menurut Abdul Hadi, penguasaan golongan ulama dalam PAS bukan perkara baru malah sejarah parti itu sebelum ini menunjukkan perkara sama berlaku dan PAS masih kekal sebagai parti memperjuangkan Islam.

Abdul Hadi juga berkata, walaupun berlaku perubahan dari segi strategi tetapi “matlamat, acuan tetap sama dan tidak akan berubah.”

“Perubahan pucuk pimpinan, biasalah... sama macam alih perabot rumah,” katanya.

Ini satu perkembangan yang baik dan matang dari perwakilan. Perubahan dalam pucuk pimpinan (parti) perkara biasa. Bila kita hadapi musim baru, maka ada perabot rumah yang kita alih.

"Bila kita alih perabut rumah, orang bunyi bising, orang kata kita bergaduh. Kita tidak bergaduh, kita usung perabot sahaja," katanya.Menjawab soalan timbalannya bukan seorang ulama, Hadi memberitahu, ia bukan satu masalah kerana kerajaan Uthmaniyah juga bukan daripada kalangan ulama.

“Ulama ini sebenarnya bermaksud orang berilmu termasuk dalam pelbagai bidang... contoh Ibn Khaldun, beliau seorang yang berilmu dalam bidang agama dan sosiologi. Sekarang ini susah nak cari pemimpin yang tahu dalam semua bidang, jadi PAS buat pimpinan secara kolektif,” katanya.

 “Kita ikut suasana,” kata Hadi yang turut memberi jaminan bahawa calon yang tidak terpilih, tetap sama membantu pimpinan yang lain.

“Saya akan melantik AJK baru, enam orang tapi itu semua kena tunggu dahulu.

“Saya tidak guna kuasa mutlak, dulu bila Mat Sabu (Mohamad) kalah, dia tetap jadi AJK pusat,” katanya lagi.

Ditanya sama ada Nasharuddin antara akan dilantik, Abdul Hadi berkata, beliau akan lihat pandangan AJK Pusat.

Apapun jawapan Abdul Hadi pada sidang media itu, umum mengetahui hampir dua pertiga saf baru PAS adalah mereka yang tergolong kumpulan Erdogan yang pro Ketua Pembangkang.

Pasti sesuatu yang getir bagi Abdul Hadi memimpin saf ini yang pasti menolak bulat-bulat usaha perpaduan dengan UMNO.

Namun, ramai juga mahu melihat hala tuju Mohamad dan Salahuddin yang sebelum ini berada ‘atas pagar’.

Walaupun pemilihan akan datang hanya dua tahun lagi, kemungkinan ditangan mereka nasib PAS sama ada kekal sebagai PAS atau lepas kedalam  gengaman Anwar~agendadaily~*

0 comments:

Post a Comment

CONTACT US

edisimaya@gmail.com

ShoutMix chat widget